Kali pertama MrJocko ke Sumatera Barat dan kali pertama dibawa jauh sehingga sampai ke Kota Sawahlunto. Kota Sawahlunto ini salah satu daerah yang jauh dari Padang dan ia terkenal dengan perusahaan perlombongan Arang Batu sejak zaman penjajahan Belanda lagi. Di sini ada banyak lokasi menarik tinggalan sejarah Belanda di Indonesia termasuk Stesen Keretapi Pertama di Indonesia.
Memandangkan di sini satu kawasan kota kecil yang punya bentuk muka bumi yang berbukit, kami memilih untuk menginap di Homestay. Kami dibawa ke OMA Homestay di Kota Sawahlunto dan ia antara penginapan yang popular di Sawahlunto kerana di sini hanya mempunyai 2 hotel kecil sahaja, tidak seperti Padang atau Bukittingi.
Ruang yang ada di OMA Homestya ini memang luas dan ia mempunyai 2 ruang tamu, meja makan, dapur dan punyai 9 bilik. Di sini ada kemudahan TV LCD Besar dan juga bilik air yang mencukupi. Kalau nak membasuh baju pun, boleh.
Harga untuk setiap bilik sekitar RM80 sahaja dan ia memang berpatutan. Kalau anda ke Sawahlunto secara berkumpulan, ia memang tempat penginapan yang sangat sesuai. Pakej bilik berserta dengan sarapan pagi.
OMA Homestay terletak di lereng bukit. Malam memang agak sejuk dan pemandangan memang cantik dan menyegarkan bila dapat melihat kanan dan kiri kehijauan pokok-pokok dan hutan yang masih menghijau.
Jadi, kalau inginkan sesuatu kelainan bila ke Sawahlunto, apa kata inap sahaja di Inap Desa seperti OMA Homestay ini. Selain dapat menjimatkan bajet anda, anda boleh bersama dengan penduduk kampung dan memahami adat resam budaya MinangKabau yang masih kuat lagi di Sawahlunto.