Sabah sudah pasti mempunyai banyak tarikan lebih-lebih lagi tarikan kebudayaan. Pengalaman ke Kampung Notorus di Penampang untuk ke Tagal Tinopikon adalah satu pengalaman baru buat MrJocko kerana ia sesuatu yang unik dan berbeza dari kembara Sabah sebelum ini.
Kami di bawa ke lokasi Tagal Tinopikon Park yang terletak kira-kira 45 minit perjalanan dari bandar Kota Kinabalu. Lokasi Tagal ini memang tak jauh sangat dari Kota Kinabalu, cuma ia terletak di tepi bukit, bersesuaian dengan kawasan sungai tenpat perlindungan Ikan Kelah atau Ikan Kelian bagi masyarakat tempatan.
Kami di sambut dengan muzik tradisional masyarakat Kadazan Dusun dengan paluan Gong serta kemudiannya dibawa untuk makan tengahari di bangsal khas yang disediakan. Di sini ada satu pentas kecil digunakan untuk pertunjukkan kebudayaan kepada pengunjung yang datang ke Tagal Tinopikon Park
Untuk sesi makan tengahari, kami dihidangkan dengan pelbagai menu masakan tradisional masyarakat Kadazan Dusun di Kampung Notorus Penampang. Antara menu buffet yang dihidangkan kepada kami hari itu ialah Ikan Goreng, Sup Ayam Kampung, Hinava, Tuhau, sayuran, buahan dan banyak lagi menu yang MrJocko tak pernah jumpa di Semenanjung.
Satu pengalaman baru merasai menu makanan unik semasa ikuti aktiviti di Tagal Tinopikon di Kampung Notorus Penampang ini.
Selepas makan tengahari, anda di jemput untuk jungle tracking dalam sekitar 500 meter untuk menikmati keindahan air terjun di sekitar kawasan Tagal Tinopikon Park dan berpeluang menyaksikan sendiri keindahan hutan dan alam flora di kawasan kampung Kadazan Dusun Kampung Notorus Penampang ini.
Seterusnya, pengunjung akan dibawa bersama-sama dengan masyarakat setempat menari tarian Sumazau, tarian tradisional masyarakat Kadazan Dusun sebagai salah satu acara wajib bagi mengalu-alukan kedatangan tetamu ke kampung mereka. Ia memang satu pengalaman di Tagal Tinopikon yang tak akan anda lupakan.
Kami sepatutnya dibawa untuk bermain dengan Ikan Kelah di sungai, namun oleh kerana pada hari tersebut hujan, maka aktiviti bersama Ikan Kelah (Ikan Kelian) terpaksa dibatalkan kerana arus air sungai yang laju dan berselut.
Bagi anda yang berminat untuk menikmati pengalaman ke Tagal Tinopikon ini, anda boleh mendapatkan pakej perjalanan ini lengkap dari Kota Kinabalu ke lokasi Tagal Tinopikon ini dengan pakej RM140 bagi dewasa dan RM100 bagi kanak-kanak. Pakej ini biasanya termasuk pengangkutan dari bandar Kota Kinabalu ke Tagal Tinopikon, Makan Tengahari, Aktiviti Tagal bersama ikan Kelian dan beberapa aktiviti tambahan.
Nak rasa kelainan dan merasai kehidupan masyarakat Kadazan Dusun di Sabah, anda mesti cuba pakej Tagal Tinopikon Penampang.
Terima kasih kepada penaja #SabahTourism #AirAsia #GayaTravel #MajalahLIBUR