Quantcast
Channel: MrJocko
Viewing all articles
Browse latest Browse all 1468

10 Destinasi Menarik Percutian Bajet Bawah RM500 Di Asia

$
0
0
Ramai yang minat melancong ingin tahu tentang lokasi yang menarik di Asia dan mencari lokasi percutian bajet paling murah untuk mereka pilih. Sedar atau tidak, ada banyak lokasi pelancongan di Asia yang boleh anda alami dengan hanya bajet murah sekitar RM500 untuk setiap seorang pada pakej 3 hari 2 malam. Paling menarik, ada sesetengah pakej, anda boleh dapatkan Full Package dengan nilai RM500 setiap seorang jika kena dengan masanya.

Untuk 10 destinasi menarik percutian bajet bawah RM500 di Asia pilihan MrJocko, sudah tentu MrJocko akan kongsi destinasi pelancongan yang pernah MrJocko kunjungi. Dari 10 destinasi ini, 3 lokasi menarik bajet murah di bawah RM500 setiap seorang adalah di Malaysia.










1. Kuala Lumpur, Malaysia
Ibu negara Malaysia ini sebenarnya menawarkan pelbagai tawaran produk pelancongan yang menarik di sekitarnya. Anda boleh ke Kuala Lumpur dengan mudah samada laluan penerbangan dan keretapi dari Singapura atau Thailand. 


Penginapan

Anda boleh memilih untuk menginap di bajet hotel atau butik hotel sekitar Kuala Lumpur dengan hanya kos RM100 untuk semalam (atau RM50 semalam di Tune Hotel). Kemudahan LRT atau pengangkutan awam di Kuala Lumpur masih banyak dan anda boleh akses ke lokasi tumpuan seperti KLCC, Bukit Bintang, Tugu Negara, Muzium Negara dan lokasi tumpuan lain dengan mudah dan kos yang berpatutan.


Makanan

Di Kuala Lumpur tidak susah untuk mencari makanan samada makanan tempatan atau paling terkenal restoran Mamak 24 jam.





2. Krabi, Thailand
Sememangnya Krabi mempunyai tarikan yang memang unik, lebih-lebih lagi tarikan pantai, laut dan juga pemandangan di sekitar pulau-pulau di Krabi. Kedudukannya yang terletak di Laut Andaman menjadikannya antara destinasi popular di Thailand. Anda boleh akses ke sini dengan menaiki penerbangan di lapangan terbang berdekatan.

Penginapan
Hotel bajet sekitar Krabi memang banyak dan anda boleh dapatkan bilik dorm serendah RM20 seorang bagi setiap malam atau dengan harga RM100 bagi setiap bilik dengan kondisi yang sangat selesa. Banyak, anda boleh cari dan tempah mengikut citarasa anda.

Makan
Jika anda Muslim, di Krabi masih banyak lagi menu masakan Halal yang dijual sekitar pantai dan lokasi tarikan utama pelancong. Makanan 'street food' adalah antara yang popular di Krabi dan ia memang murah tetapi sedap.









3. Kota Kinabalu, Malaysia
Destinasi Kota Kinabalu ini memang menjadi tumpuan pelancong dari China, Taiwan, Jepun dan Korea kerana ia terletak berdekatan dengan negara-negara tersebut. Paling menarik kerana di Kota Kinabalu anda boleh dapatkan pengalaman dari laut, darat sehingga ke puncak tertinggi asia, Gunung Kinabalu.

Penginapan
Jika di sekitar bandar Kota Kinabalu, ada banyak hotel yang menyediakan pakej penginapan serendah RM50 semalam termasuk Tune Hotel. Jika anda memandu sehingga ke Taman Negara Kinabalu, anda boleh menginap di Homestay dan juga resort bajet dengan kos yang hampir sama, dengan syarat berkongsi dengan rakan-rakan.

Makan
Kota Kinabalu adalah satu lokasi yang unik kerana ia berdekatan dengan laut dan juga hingga ke puncak gunung. Jadi anda boleh memilih untuk mencuba menu makanan laut yang segar dan murah di Kota Kinabalu Waterfront atau merasai Sup Sayur yang segar di puncak Kundasang.







4. Ho Chi Minh, Vietnam
Ia juga dikenali sebagai Bandar Saigon, dan merupakan ibu negara Vietnam. Ho Chi Minh terkenal dengan tarikan sejarah perang dan juga tempat shopping menarik di Vietnam. Lokasi utama tarikan seperti Ben Thanh Market, Chu Chi Tunnel, War Museum dan banyak lagi.

Penginapan
Banyak butik hotel di Ho Chi Minh dan anda boleh dapat dengan pakej sekitar RM60 setiap malam untuk hotel yang bertaraf 2 atau 3 Bintang. Sebenarnya tak perlu nak tempah hotel di Ho Chi Minh, tetapi sebaiknya anda berbuat demikian kerana anda boleh memilih lokasi yang bersesuaian dan murah untuk anda berjimat.

Makan
Ho Chi Minh kini punyai semakin banyak restoran Halal yang dijalankan oleh warga Vietnam Muslim di sini. Tidak perlu risau, harga makanan di Ho Chi Minh juga adalah murah dan ia lebih kepada konsep sup dan bersayur.





5. Koh Samui, Thailand
Pulau Koh Samui antara pulau yang masih lagi terpelihara cantiknya di Thailand. Paling menarik kos untuk ke Koh Samui masih lagi murah berbanding dengan tempat lain di Thailand seperti Phuket. Di Koh Samui, aktiviti utama adalah aktiviti air kerana ia pulau dan dikelilingi laut yang cantik.

Penginapan
Kos untuk pakej bermalam di Koh Samui juga masih murah dan masih lagi mampu untuk anda berjimat. Tidak mahal kerana anda boleh dapatkan bilik serenda RM100 untuk semalam dan boleh dikongsi dengan 2 orang. Jangan risau, ada yang lebih murah.

Makan
Memandangkan Koh Samui antara lokasi yang selalu dikunjungi oleh orang Muslim, banyak menu makanan halal di Koh Samui. Menu makanan laut masakan ala Thai menjadi menu utama. 





6. Hatyai, Thailand
Mungkin ini antara lokasi destinasi pelancongan yang terawal selalu dikunjungi oleh rakyat Malaysia dari sempadan Perlis atau Kelantan. Kalau dulu, Hatyai antara lokasi paling popular dikalangan rakyat Malaysia kerana ia boleh dihubungi terus menggunakan lebuhraya dari Malaysia. Kini bila ada pilihan penerbangan, destinasi Hatyai semakin berkurangan. Namun, Hatyai masih mendapat tempat di hati pelancong Malaysia.

Penginapan
Untuk hotel bajet dan juga backpakers di sekitar Hatyai, anda boleh dapatkan dengan harga serendah RM20. Untuk lebih selesa, masih lagi berbaloi jika dapatkan bilik yang berharga RM100 semalam untuk anda sekeluarga. 

Makan
Memandangkan Hatyai masih lagi berdekatan dengan masyarakat Muslim Thai, ada banyak restoran Halal di Hatyai. Ada restoran halal di sini menjadi restoran popular dan tumpuan ramai kerana kesedapan masakan mereka. Pasal makan, jangan risau di Hatyai, masih murah dan dibawah bajet RM500 untuk seorang (3H2M)


10 Destinasi Menarik Percutian Bajet Bawah RM500 Di Asia


7. Singapura
Kota metropolitan dan bersebelahan dengan Malaysia ini antara satu lokasi wajib anda singgah. Memang dari segi pertukaran wang asing, nilai mereka lebih tinggi lebih 2 kali ganda dari matawang Malaysia, namun masih ada cara untuk melancong ke Singapura dengan kos bawah RM500. Lokasi tarikan di Singapura juga senang akses dan ad kemudahan LRT.

Penginapan
Paling jimat kalau anda sekadar mengindap di Hotel sekitar Johor Bahru dan menaiki bas menuju ke Singapura dan pulang di sebelah malam. MrJocko pernah menginap di Tune Hotel, Danga Bay dengan kos hanya RM40 semalam dan menaiki Bas dari sana menuju Sentosa Island pergi dan balik cuma RM50 sahaja. Jimat kan?

Makan
Singapura masih mempunyai rakyat Melayu dan beragama Islam. Oleh sebab itu, masih banyak lokasi restoran halal di Singapura, tambah-tambah di Arab Street. Cuma, harga menu makanan di Singapura hampir 2 kali ganda mahal berbanding Malaysia, jadi anda perlu berjimat untuk berada di bawah kos RM500 untuk setiap seorang.





8. Pulau Pinang, Malaysia
Pulau ini memang banyak tarikan dan ia semakin bertambah sejak akhir-akhir ini. Bermula dengan tarikan pantai, kemudian makanan dan kini perlbagai tarikan lain termasuk 'art' dan kawasan 'heritage' yang semakin mendapat perhatian

Penginapan
Walaupun Pulau Pinang antara lokasi percutian pilihan ramai pelancong dalam dan luar Malaysia, anda tidak perlu risau kerana masih banyak bajet hotel di Pulau Pinang dan masih boleh anda cari dengan kos sekitar RM100 untuk semalam. Pun begitu anda kena terima, banyak lokasi yang dalam lingkungan tersebut berada jauh sedikit dari pusat tumpuan bandar dan tarikan pelancong. Tetapi jangan risau kerana Pulau Pinang ini tidak lah sebesar mana dan anda boleh pusing di sini dalam masa hanya sehari.

Makan
Pulau Pinang (Penang) sekarang terkenal dengan pelbagai tarikan makanan yang menarik. Nasi Kandar, Pasembur, Nasi Beriyani, Kari Kepala Ikan, Rojak Penang dan macam-macam lagi. Anda boleh simpulkan menu masakan di Pulau Pinang banyak yang berkuah dan ber'kari'. Harga masih berbaloi dan anda masih boleh cuba dengan bajet bawah RM500 seorang.





9. Medan, Indonesia
Bandar Medan adalah antara bandar terbesar di Sumatera dan bandar selepas Jakarta, Surabaya dan Bandung. Ia antara lokasi pilihan pelancong Malaysia khususnya untuk membeli belah selain menyaksikan keindahan tasik Danau Toba yang terkenal.

Penginapan
Banyak hotel dan resort di Medan menyediakan pakej murah dan anda akan selesa jika menginap dihotel 3 Bintang dengan harga sekitar RM100 semalam. Nak jimat anda boleh menginap di hotel 2 bintang ke bawah dan sudah tentu dengan kos yang lebih murah. Kebiasaannya ramai yang menginap di hotel luar bandar kerana ingin menikmati pengalaman berada di kawasan hijau dan jauh kesibukan kota.

Makan
Menu masakan di Medan banyak dipengaruhi dengan menu masakan Padang. Tak hairan dengan menu seperti ini kerana kita sudah terbiasa dendan menu tersebut di Malaysia, lebih-lebih lagi di Negeri Sembilan. Harga makanan masih murah dan anda boleh nikmati makanan enak di sini dengan harga yang anda mampu.





10. Padang dan Bukittinggi, Indonesia
Ada pakej yang menarik kalau ke Padang dan Bukittinggi Indonesia. Selalunya pihak penganjur akan satukan pakej ini untuk kemudahan anda, tetapi kalau mahukan pakej Padang dan Bukittinggi, lebih baik anda ambil masa 4 hari 3 malam. 
Untuk trip 3 hari 2 malam, anda boleh pusing melawat di Padang sahaja dan di sini banyak tarikan yang anda boleh lihat termasuk beberapa tinggalan kesan gegaran Gempa Bumi dasyat di Padang, Indonesia pada tahun 2009, Rumah Minangkabau dan banyak lagi.

Penginapan
Padang, Indonesia antara lokasi yang masih lagi dikategorikan sebagai pusat pelancongan yang murah dan berbaloi untuk anda lawati. Jangan risau di sini ada banyak hotel dan motel yang murah untuk anda pilih bermula serendah RM60 untuk semalam. Homestay pun ada tetapi konsep homestay di Indonesia agak berbeza dari Malaysia kerana anda akan menginap sekali dengan Tuan Rumah dan menginap di bilik yang disediakan.

Makan
Makanan di Padang Indonesia antara menu yang sedap dan ia lebih kepada pedas. Ada banyak menu yang hampir sama tetapi jangan risau, anda sudah biasa makan makanan tersebut lebih-lebih lagi bila anda pernah ke Negeri Sembilan. Menu makanan mereka adalah hampir sama tetapi ia lebih banyak dan pelbagai.

Kesimpulan
Ini adalah 10 Destinasi menarik Percutian Bajet Bawah RM500 untuk setiap seorang di Asia pilihan MrJocko. Perlu diingat, kos RM500 ini hanya termasuk Penginapan, Makan Minum dan Kos Membeli Belah barangan cenderahati biasa. Jangan terkejut jika anda pandai uruskan masa dan jadual anda, kos RM500 itu termasuk sekali dengan tiket Penerbangan AirAsia (mengikut pakej tawaran murah AirAsiaGo.com.my.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 1468