Balik dari sekolah minggu lepas, si Kakak Khalish minta Mummy dia carikan gelang getah warna warni. Katanya nak buat gelang hiasan. Selang sehari selepas itu, dia bawa pulang Gelang Getah yang di pakai kat tangan, yang sudah disusun cantik dan dijadikan perhiasan untuk kanak-kanak. Kata Khalish, kawan dia hadiahkan. Si Adik Hasya pun mula la merengek nak juga. Terpaksa la cari kat mana jual benda gelang getah ini.
Semalam singgah di Brem Mall, bila pusing tanya kedai aksesori kanak-kanak kat sana, rupanya ada di jual dalam bentuk satu set, siap dengan alatan khas untuk membuat gelang getah yang fancy untuk mainan kanak-kanak.
Rupanya ia digelar dengan nama Rainbow Loom, gelang getah berwarna warni. Untuk kita di Malaysia, boleh layari laman web Rainbow Loom Malaysia.
Sebenarnya set yang MrJocko beli ini bukan set yang original. Ia adalah produk yang mempunyai fungsi yang sama dengan Rainbow Loom.
Set Rainbow Loom biasanya akan di jual secara lengkap dalam satu set. Ini memudahkan anak-anak anda belajar membuat susunan dan rekaan gelang mengikut citarasa dan idea mereka. Jangan risau, setiap set lengkap ada menyediakan arahan ringkas cara membuat gelung getah Rainbow Loom ini.
Tak sampai 5 minit, Khalish selesai buat satu Rainbow Loom bersaiz kanak-kanak dan muat dengan tangannya. Mudah sahaja bila dah tahu rentak untuk susun gelung getah rainbow loom ini menggunakan alatan khas yang di sediakan. Hasya pula nampaknya lebih cepat belajar sebab berjaya buat gelang getah rainbow loom ini dengan guna dua warna sahaja, lain dari yang Kakak Khalish buat.
Lepas ni, nampaknya makin banyak la Khalish dan Hasya buat gelang getah Rainbow Loom ini untuk koleksi mereka.
Rainbow Loom ini telah dicipta oleh Cheong Choon Ng, seorang pendatang Malaysia berketurunan Cina yang datang ke Amerika Syarikat pada tahun 1991 untuk belajar di Wichita State University, di mana beliau memperoleh ijazah sarjana dalam bidang kejuruteraan mekanikal. Beliau telah bekerja sebagai jurutera crash-test bagi Nissan Motor Company pada tahun 2010 apabila beliau mengilhamkan idea mesin tenun mainan gelung getah semasa menonton anak-anak perempuan beliau membuat perhiasan gelung getah.
Untuk anda yang nak cari produk Rainbow Loom yang original, boleh layari laman web di bawah. Kalau anda berada di sekitar Kuala Lumpur, boleh cari produk original Rainbow Loom ini di Publika, One Utama, Taipan Triangle, Bangsar Shopping Centre dan juga di Kota Kemuning.